Saturday 5 October 2013

#PemilihanUMNO: Kenali Onn Hafiz, Calon Exco Pemuda UMNO!! #OnnHafiz4Exco



Walaupun berasal daripada keluarga politik terkenal tanah air, namun Naib Ketua Pemuda Umno Bahagian Sembrong Onn Hafiz Ghazi amat mesra dan senang didekati.

Beliau yang menawarkan diri bertanding jawatan Ketua Pemuda Umno Bahagian Sembrong dan Exco Pemuda Pusat, bertekad mahu membantu dalam memastikan Umno terus kekal sebagai pejuang tunggal bangsa Melayu dan agama Islam.

"Saya lihat bahawa parti Umno adalah satu-satunya parti yang akan terus membela nasib orang melayu dan agama Islam di negara ini. Saya ingin menjadi sebahagian daripada pasukan utama Pemuda yang akan melihat kepada nasib dan hala tuju orang Melayu muda," katanya kepada Malaysian Digest.

Onn Hafiz, 35, yang pernah bertugas di syarikat perakaunan PricewaterhouseCoopers (PwC), cicit kepada pengasas Umno (Allahyarham Datuk Onn) dan cucu kepada Perdana Menteri ketiga (Allahyarham Tun Hussein Onn) mahu berdiri di atas kaki sendiri dalam perjuangan politiknya.

Hubungan kekeluargaan sebagai anak saudara Naib Presiden Umno Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dilihat sebagai satu kelebihan kepadanya di dalam dunia politik kerana jasa Hishammuddin sebagai mantan Ketua Pergerakan Pemuda Umno Malaysia.


“Saya telah berkhidmat dan dilatih dibawah beliau (Dato Seri Hishammuddin) selama tujuh tahun dan banyak yang telah saya pelajari. Keikhlasan untuk berjuang demi agama dan bangsa sentiasa di titik beratkan.

"Dengan pengalaman dan tunjuk ajar yang saya terima, saya rasa sudah bersedia untuk berkhidmat dan membantu Pemuda di peringkat nasional.

Ditanya tentang penerimaan anggota Pemuda Umno terhadap tawarannya untuk merebut satu daripada jawatan Exco Pemuda Pusat, Onn Hafiz berkata, penerimaan daripada anggota Pemuda Umno seluruh negara adalah menggalakkan.

"Alhamdulillah, sambutan mereka terhadap saya setakat ini adalah baik dan saya berdoa agar mendapat sokongan daripada rakan-rakan perwakilan Pemuda Umno," katanya.

Tambah beliau, jawatankuasa Pemuda Bahagian Sembrong juga sebulat suara menyokongnya untuk bertanding Ketua Pemuda Sembrong bagi menggantikan Ariffin Nan yang berhasrat bertanding jawatan Naib Ketua Bahagian.

Tuesday 1 October 2013

Sejarah Awal

Pada awal tahun 1956 sebuah sekolah Melayu ditubuhkan dan dinamakan sebagai Sekolah Umum Estate. Menjelang tahun 1962 nama sekolah ini telah ditukar kepada Sekolah Melayu Ladang Pamol.
 
            Sekolah ini diwujudkan dengan tujuan memberi pendidikan kepada anak-anak pekerja ladang. Pada awal penubuhannya rumah pekerja yang terdiri daripada rumah papan usang telah diubahsuai untuk dijadikan 2 bilik kelas dengan tenaga pengajar 2 orang dan bilangan murid seramai 26 orang. Guru Besar pada awal penubuhan ini ialah Allahyarham Encik Rahmat bin Sungip.
            Pada tahun 1967, bilangan kelas bertambah kepada 5  iaitu dari darjah 1 hingga darjah 5. Pada tahun berikutnya (1968) diwujudkan pula kelas darjah 6 dan pada tahun ini juga nama sekolah ditukar kepada Sekolah Kebangsaan Ladang Pamol. Guru Besarnya ialah Tuan Haji Sanif bin Ismail dan tenaga pengajar terdiri daripada 10 orang guru sementara bilangan pelajar bertambah kepada 156 orang.
             Tuntutan untuk menimba ilmu terus membara. Bangunan lama dirasakan tidak lagi sesuai di zaman moden ini. Lantas pada tahun 1973 pihak pengurusan Ladang Pamol telah menyediakan tapak untuk pembinaan bangunan sekolah yang baru oleh kerajaan. Bangunan baru ini terdiri daripada satu blok bangunan dua tingkat yang mengandungi 6 bilik darjah, 1 bilik Guru Besar, 1 pejabat, 1 bilik rehat guru, 1 stor, 1 bilik sembahyang, 2 tandas guru dan 2 tandas murid.

Pada tahun 1986 pentadbiran dan pengurusan sekolah diterajui oleh Encik Esa bin Haji Abdul Ghani menggantikan Tuan Haji Sanif bin Ismail yang bertukar ke Sekolah Kebangsaan Air Hitam, Batu Pahat. Pada tahun ini juga pihak Pejabat Pendidikan telah membina pagar di sekitar sekolah bagi tujuan keselamatan serta bagi menambahkan lagi keceriaan sekolah ini.
 
            Pada tahun 1988, Encik Esa bin Haji Abdul Ghani ditukarkan ke SK LKTP Kahang Timur dan tempatnya diambil alih oleh Tuan Haji Abdul Halim bin Manap. Seterusnya pada tahun 1989 Encik Abdul Halim bin Manap ditukarkan ke SK Perempuan Bandar dan Encik Abdul Rahim bin Lambak menggantikan tempat beliau.
           
Pada tahun 1991 Tuan Haji Abdul Rahim bin Lambak bertukar ke kampong asalnya di Muar dan tempatnya digantikan oleh Encik Onn bin Haji Abdullah. Pada Disember 1992 Encik Onn bin Haji Abdullah ditukarkan ke Sekolah Kebangsaan Senai, Kulai, Johor dan digantikan oleh Tuan Haji Kassim bin Haji Abdullah. Pada 16 Disember 1993 Tuan Haji Kassim bin Haji Abdullah ditukarkan pula  ke SK Batu 3 Kluang dan tempatnya digantikan oleh Encik Mohd Lasim bin Ahmad pada 16 Januari 1994.

Bilangan murid terus bertambah dengan bilangan murid tahun 1 melebihi 50 orang. Pihak sekolah memohon jasa baik pihak pengurusan ladang untuk membina blok tambahan bagi membolehkan murid-murid belajar dengan lebih selesa. Maka pada bulan Januari 1994 bangunan tambahan yang menelan belanja RM10 000 siap dibina. Pihak pengurusan ladang juga turut membiayai perbelanjaan memasang 6 buah kipas siling dan 11 batang lampu kalimantang.


Pada tahun 1995 Encik Mohd Lasim bin Ahmad telah ditukarkan ke Sekolah Kebangsaan Seri Intan Kluang dan tempatnya digantikan oleh Encik Kusmin bin Omar yang bertugas sebagai Guru Besar selama setahun sahaja. Tahun berikutnya (1996) tempatnya digantikan oleh Encik Ahmad bin Md Top.
 
Bangunan satu blok yang ada tidak lagi dapat menampung keperluan pendidikan semasa. Maka pada tahun 1997 Kementerian Pendidikan Malaysia telah membina bangunan tambahan yang terdiri dari satu blok bangunan tiga tingkat lengkap dengan bilik-bilik khas serta  perabut bagi memenuhi tuntutan pendidikan alaf baru. Bangunan tambahan ini siap sepenuhnya pada Disember 1999 dan mula digunakan pada tahun 2000.
 
Encik Ahmad bin Md Top telah  mentadbir sekolah ini sehingga beliau bersara pada Disember 2000. Pada tahun 2001 sekolah ini ditadbir pula oleh Encik Abdul Razak bin Ali sehingga tahun 2002 apabila beliau bertukar ke Batu Pahat dan digantikan oleh Guru Besar Tuan Haji Ishak bin Osman. 

Wednesday 4 September 2013

SELAMAT DATANG

Selamat datang ke laman blog Pemuda UMNO Cawangan Ladang Pamol Kluang Johor. Diharap blog ini mampu menjadi platform kepada anak muda Pamol bertukar pandangan dan cadangan. Malah pengunjung dari cawangan umno yang lain dialu-alukan untuk berkongsi pandangan. Sebarang kekurangan akan diperbaiki dari semasa ke semasa.


Ucapan dari sempena prog ramah mesra pemimpin bersama rakyat di Ladang Pamol